Aktiviti Main Peranan dalam Model Pengajaran Sosial
MAIN PERANAN
Setelah memahami kumpulan pertama model pengajaran sosial iaitu pembelajaran koperatif dan kolaborasi, terdapat kumpulan kedua dalam model pengajaran sosial iaitu Main Peranan. Seperti yang sedia maklum, pembelajaran koperatif berkonsepkan kepada kerja secara berkumpulan. Manakala pada bahagian main peranan ini pula ialah salah satu kaedah yang membantu murid-murid memahami tingkahlaku sosial, peranan mereka dalam interaksi sosial dan cara-cara menyelesaikan masalah dengan berkesan.
Melalui kaedah main peranan ini, proses pengajaran berlaku apabila murid-murid diberi peluang untuk berbincang, berkomunikasi secara dua hala untuk memberi pandangan, pendapat dan idea masing-masing berkenaan perkara yang dibincangkan. Dari dimensi peribadi pula model ini berusaha membantu pelajar menemukan makna dari sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya. Juga melalui model ini pelajar dididik untuk belajar menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dihadapinya dengan bantuan kumpulan yang dianggotai teman-teman sekelas. Main peranan merupakan kaedah secara berkumpulan yang berorientasikan proses, iaitu pelajar berlakon atau mengsimulasikan situasi dalam kehidupan sebenar. Ia merupakan suatu situasi yang melibatkan pelajar memegang suatu peranan samada sebagai dirinya sendiri ataupun menjadi individu yang lain. Melalui situasi ini, pelajar berpeluang untuk beraksi sebagaimana yang dikehendaki oleh situasi yang telah diarahkan.
Dalam kaedah main peranan, pelajar perlu memainkan peranannya seperti yang telah diarahkan. Setiap pelajar perlu menonjolkan diri mereka untuk memainkan peranan menjiwai sebagai watak tersebut dan kebiasaannya ia tidak ada masalah yang perlu diselesaikan. Dalam kaedah main peranan ini, ia memberi penekanan kepada kepada kuailiti dan mutu aksi yang ditunjukkan oleh setiap pelajar dan kepekaan pelajar itu pada keperluan peranannya. Aktiviti main peranan boleh dijalankan didalam bilik darjah dengan melibatkan kesemua pelajar atau sebahagian pelajar sahaja didalam kelas tersebut. Manakala pelajar yang tidak terlibat dalam melakokan watak boleh menjadi pemerhati kepada situasi yang akan dilakonkan.
PRINSIP-PRINSIP MAIN PERANAN.
Terdapat beberapa prinsip dalam main peranan. Ia berkaitan dengan senario, peranan dan taklimat hendaklah disesuaikan supaya dapat menghasilkan aktiviti main peranan yang menyeluruh dan menyeronokkan. Sebagai guru, haruslah memainkan peranan dengan memastikan bahawa pelajarnya memahami situasi dan peranan masing-masing sebelum memulakan aktiviti. Ia mestilah jelas dan masa yang diberikan kepada pelajar untuk membuat persediaan harus mencukupi supaya aktiviti berjalan lancar. Masa yang paling sesuai menjalankan aktiviti ini antara 15 hingga 20 minit. Pemerhati, contohnya guru harus mencatat pandangan dengan menggunakan borang penilaian atau senarai semak.
Terdapat juga lima jenis main peranan iaitu;
1. Memerihal – ia merupakan satu cara komunikasi iaitu peserta memerihal suatu situasi atau masalah. Seperti contoh pelajar meminta kebenaran untuk menganjurkan lawatan sambil belajar.
2. Demonstrasi – demonstrasi ialah menunjukkan contoh tingkah laku kepada sesuatu perkara. Contohnya seorang guru menunjukkan contoh cara pertuturan bahasa yang baik sebelum para pelajar melakukan aktiviti main peranan.
3. Latihan – latihan yang kerap dapat membantu pelajar menguasai kemahiran tertentu seperti kemahiran berkomunikasi seperti contoh pelajar kerap melibatkan diri dalam aktiviti atau memegang jawatan sebagai seorang pengerusi.
4. Cerminan – pelajar didedahkan bagaimana tingkah mereka dilihat oleh orang lain semasa dalam situasi tertentu. Contohnya, seorang pelajar memarahi rakan sekelasnya kerana melakukan sesuatu perkara, oleh yang demikian pelajaran akan belajar menghadapi sesuatu situasi.
5. Kepekaan – memberi kesedaran kepada pelajar supaya peka tentang perasaan sendiri atau orang lain pada sesuatu situasi. Contohnya, pelajar memainkan peranan apabila ada pelajar lain menuduhnya mencuri duit persatuan.
Main peranan merupakan salah satu alternative yang dapat ditempuh. Keputusan penyelidikan dan percubaan yang dilakukan oleh para ahli menunjukkan bahawa bermain peranan merupakan salah satu model yang boleh digunakan secara efektif dalam pembelajaran. Ia mempunyai banyak kelebihan iaitu ia memberikan peluang kepada pelajar supaya aktif melibatkan diri dalam aktiviti lakonan dan perbincangan. Selain itu ia melatih mereka untuk melakonkan pelbagai watak dan mengalami sendiri pengalaman semasa berada dalam situasi tersebut. Melalui aktiviti ini mereka akan memahami tingkah laku orang lain disamping dapat mempelajari dan menguasai kemahiran-kemahiran seperti kemahiran bahasa daripada laras bahasa, sebutan dan cara penyampaian.
Aktiviti main peranan dalam model pengajaran sosial ini dijangka dapat membantu pelajar yang pasif didalam kelas untuk turut sama melibatkan diri dalam aktiviti main peranan dan sekali gus dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Manakala pelajar juga dapat memupuk sifat-sifat sosial dengan cara berinteraksi sesama mereka dengan cara komunikasi yang berkesan dengan watak-watak lain. Tambahan pula, pelajar diberikan peluang untuk melahirkan pelbagai perasaan atau emosi mengikut watak-watak yang dimainkan, pelajar juga dapat berbincang serta memikirkan masalah sendiri dan dengan ini dapat memahami diri sendiri secara lebih mendalam. Hal ini secara langsung melatih pelajar untuk mengawal emosi dan perasaan pelajar ketika menghadapi suatu situasi. Kaedah ini lebih berkesan jika diaplikasikan sewaktu pengajaran mata pelajaran.
Model main peranan boleh digunakan oleh semua pelajar tanpa mengira tahap ataupun pencapaian akademik. Selain itu juga, model ini boleh digunakan untuk meneroka sebarang situasi atau topik dalam pembelajaran. Ia amat berguna dalam P&P sains sosial di mana pelajar dapat memahami keprihatinan,nilai dan perspektif orang lain.Sebagai seorang guru juga, kita boleh menggunakan kaedah kumpulan main peranan ini untuk menilai tahap kompetensi para pelajar. Aktiviti-aktiviti sebegini bergantung kepada kreativiti seorang guru untuk mempelbagaikan kaedah main peranan sebagai alat pembelajaran serta penilaian. Guru yang kreatif sentiasa mencari pendekatan baru dalam menyelesaikan masalah, tidak hanya diam dan monoton, melainkan guru itu sedang menilai.
murid-murid melakukan aktiviti main peranan
guru harus kreatif untuk menarik minat murid-murid
Terima kasih atas makluma ini, mohon share ilmu ye. Tqvm
ReplyDeletetrima ksih
ReplyDelete